Terima kasih atas pembacaan anda ini.
Selaku rakyat yang melihat jatuh bangun UMNO akan menentukan kedudukan orang melayu di bumi Malaysia yang tercinta ini, adalah penting untuk saya sampaikan kepada semua pemimpin UMNO tidak kira Shahrizat Abdul jalil atau orang lain. Catatan saya ini penting kepada semua orang UMNO baik baru jadi ahli UMNO atau dah lama bahkan yang akan mendatang.
Untuk makluman orang UMNO tidak kira siapa, berdasarkan tinjauan pendapat ketika ini, disebalik PM Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelbagai program yang memberi kelebihan kepada rakyat (saya sukakan hampir semua program tersebut) dan walau ternyata teruknya kepimpinan pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor, begitu juga masalah moral dan pemikiran Anwar Ibrahim yang liberal dan anti-melayu, perasaan anti pemimpin UMNO itu masih memberi kesan besar kepada undi dalam PRU-13 nanti. Apa yang nyata ialah ramai rakyat yang sayangkan UMNO cuma mereka meluat dan bencikan pemimpin yang dilihat tidak ikhlas dan tidak punyai pendidikan agama dan tidak mengamalkan nilai murni islam sebaiknya.
Hakikatnya orang UMNO dan mereka yang di atas pagar dan pesimpati UMNO bimbang dengan trend cara kerja dan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor dan Pulau Pinang. Namun mereka tidak dapat membendung rasa tidak puas hati sejak sekian lama terhadap pimpinan UMNO iaitu mereka mempunyai kuasa memerintah dan mengubah nasib rakyat namun usaha pemimpin dalam menggunakan kuasa sebaiknya demi rakyat tidak berlaku sebagaimana sepatutnya. Disebalik kemewahan yang ditunjukkan oleh pemimpin dan kaum keluarga mereka, taraf hidup rakyat dan cara hidup mereka tidak berubah untuk jangka panjang. Pemimpin boleh mengatakan sudah banyak kemudahan yang disediakan tetapi hasrat rakyat supaya pimpinan boleh mengubah nasib rakyat bukan setakat jangka pendek tetapi jangka panjang dan berkekalan.
Perasaan anti-pemimpin UMNO telah wujud sejak sekian lama dan semenjak kita mencapai taraf ekonomi yang baik dulu, perasaan itu semakin kuat dikalangan rakyat. Saya sebenarnya mengulang cakap teguran oleh orang ramai sejak beberapa tahun lalu. Rakyat kita semakin bertambah ramai dan semakin meningkat usia dan semakin bijak menilai. Itu perkara yang perlu diingat oleh pemimpin. Keseluruhan rakyat tidak suka keperibadian, sikap dan pemikiran liberal pemimpin (pemikiran dan tindakan yang tidak berasaskan islam bagi majoriti rakyat yang beragama islam). Itu yang rakyat tidak suka dan antinya.
Sebetulnya taraf hidup sebahagian rakyat telah berubah dan meningkat baik dari segi memenuhi keperluan asas. Namun rakyat harapkan kemakmuran ekonomi dan kekayaan itu dapat diagih sama rata. Rakyat juga menyedari nasib mereka dengan sistem harian yang ada, walau sederhana dan tidak begitu sukar dari segi wang ringgit untuk menampung keperluan tetapi jika berlaku krisis dan bencana, kemalangan, atau bila berdepan isu gejala sosial anak muda atau lain-lain masalah, mereka boleh pokai dan tidak mampu hadapi dengan baik.
Mungkin pemimpin yang tidak dapat menyelami perasaan rakyat yang miskin dan rakyat bawahan sukar memahami hal ini. Apa yang rakyat mahukan ialah pemimpin bekerja berdasarkan keperluan rakyat dan menepati cara hidup rakyat dan bersifat tempatan. Contoh hal Shahrizat, beliau dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab dan gagal mengatasi masalah rakyat secara spesifik dan berkekalan (khusus melibatkan kementerian beliau terajui). Beliau dilihat mengamalkan nilai sosial dan keluarga berdasarkan skema dan kriteria yang ditetapkan barat sedangkan dari segi pelaksanaan nya tidak sama dengan keperluan orang tempatan. Beliau dilihat rapat dengan kumpulan NGO yang tidak memenuhi keperluan orang islam Malaysia.
Secara umumnya kerajaan (menteri, penggubal undang-undang, pemantau dan sebagainya)dilihat gagal mengatasi gejala sosial akibat dasar yang liberal dan nilai yang ditonjolkan pemimpin UMNO pula tidak selaras dengan perlembagaan parti UMNO itu sendiri yang menetapkan perjuangan islam sebagai perjuangan parti. Dasar UMNO dilihat mesra hiburan dan program media yang menyumbang kepada kejatuhan nilai hidup dan nilai etika dikalangan rakyat. Perkara ini yang menjadi duri dalam daging yang memburukkan lagi imej dan penerimaan rakyat terhadap parti.
DAP dan Anwar Ibrahim bukannya diterima bulat-bulat oleh penyokong PAS. Kebimbangan kesan besar pengaruh DAP dan salah perkiraan Anwar Ibrahim bukan sahaja disedari oleh orang UMNO dan mereka yang diatas pagar sahaja. Ada juga orang PAS yang sedar kesan besar DAP dalam mempengaruhi pembuatan keputusan dalam Pakatan Rakyat, berasa tergugat dengan cara DAP dan berasa tergugat dengan kemahuan DAP yang tidak mahu bertolak ansur lagi dengan keistimewaan orang melayu dalam perlembagaan. DAP dilihat sebaiknya mahu orang melayu tidak lagi berasa tanah air Malaysia ini adalah tanah asal usul mereka. Perkara ini tidak ramai orang sedar dan kaji kesannya.Trend kerja dan pembuatan yang kucar kacir di Selangor dan Pulau Pinang menjadi cerminan kepimpinan peringkat persekutuan sekiranya PR menang nanti. Dan cerminan ini membimbangkan rakyat terutama dikalangan mereka yang tahu menilai kesan besar darinya nanti.
Negara boleh berundur proses pembangunan dan tranformasinya 10 tahun ke belakang sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih. Ketidaktentuan dalam kumpulan “panglima perang-panglima perang” dalam kepimpinan PR amat menggusarkan orang melayu. Terutama sekali cara kerja kepimpinan PKR dan DAP dimana sebahagian mereka tidak terlatih mentadbir dan naik dalam kepimpinan dulu pun disebabkan kemenangan sebagai calon payung terjun ketika PRU-12 yang terdahulu.
Sayang sekali momentum penolakan rakyat termasuk penyokong pembangkang khususnya PAS terhadap pimpinan PR tidak dihargai oleh UMNO sendiri. rakyat sangkakan tsunami 2008 telah memberi ruang secukupnya kepada pemimpin UMNO tidak kira siapa untuk memuhasabah diri dan mengenali diri dan karektor masing-masing di mata-mata rakyat. Sejarah menunjukkan pemimpin melayu mudah lupa. Gesaan saya sebelum PRU yang semakin dekat, pemimpin UMNO perlu muhasabah diri. jika ada salah mohon lah kemaafan rakyat melalui tindakan yang sepatutnya sebelum nasi menjadi bubur.
Shahrizat Perlu Berundur
Tranformasi yang rakyat mahukan dari segi nilai moral dan prinsip kepimpinan jelas tidak berlaku dengan baik cerminan dari tindakan Shahrizat yang enggan melepaskan jawatan dalam parti. Tranformasi Politik yang digagaskan oleh Perdana Menteri nampaknya tidak mencapai tahap yang diharapkan rakyat. Shahrizat mungkin berpendapat beliau tidak seharusnya berundur disebabkan kes yang dihadapi oleh keluarganya.
Bagi saya sebetulnya Shahrizat tidak seharusnya menanggung beban perbuatan salah orang lain sekalipun dilakukan oleh ahli keluarga. Mungkin moralnya beliau perlu pastikan keluarga nya menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah dan tidak melanggar undang-undang negara. Perkara ini perlu ditekan oleh setiap insan yang bergelar muslim. Jalani kehidupan yang diredhai Allah dan menjadi rakyat yang baik pada negara. Setiap orang dan setiap pemimpin tidak kira ia ahli mana-mana parti dan fahaman, atau selaku pemimpin seperti menteri atau ahli jawatankuasa tertinggi parti perlu menerapkan nilai murni dalam kehidupannya dan ahli keluarga.
Meletak jawatan dari semua jawatan yang dipegang sam ada dalam parti atau kerajaan bila berdepan sesuatu kes seperti yang dihadapi oleh Shahrizat ini seharusnya jadi amalan kepimpinan negara. Walau pun sebenarnya empunya diri tidak salah. Mentadbir negara ini bukan lah perkara yang mudah. Isu rakyat, keputusan yang dibuat melibatkan tanggungjawab untuk dijawab kelak kepada Allah bila mati. Penumpuan, fokus, kerja keras, ketelitian, stabil, tenang dan bermoral antara ciri-ciri yang perlu dimiliki dan dihayati. Pemimpin perlu ikhlas dan tidak boleh menyintai kedudukan mereka.
Saya berpandangan selain daripada nilai murni, keikhlasan dalam perjuangan, dan teladan, Shahrizat perlu berundur dari kepimpinan parti kerana pegangan pemikirannya yang liberal dan tidak benar-benar menyumbang kepada masyarakat khasnya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ada suatu ketika statistik dan data tentang masalah wanita yang keluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah disangkal secara terbuka oleh Shahrizat. Sedangkan laporan tersebut dibawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan pemerolehan data dilakukan secara saintifik dan kajian terperinci oleh Kementerian Kesihatan. Demi menutup malu kementeriannya (mungkin sebab tiada kajian yang dilakukan tentang isu tersebut atau tidak buat kerja) Shahrizat selaku Menteri Wanita sanggup memalukan diri dengan menempelak sebuah kementerian yang berwibawa dan telah lama cekap dalam pengurusan terutama bila melibatkan soal hidup dan mati masyarakat.
Seterusnya masalah pembuangan bayi dan masalah remaja yang terlibat seks di luar nikah juga dipandang sinis dan diurus secara sambil lewa oleh Shahrizat. Kempen Kami Prihatin hanya sebentar bergema, gah hanya di pengenalan dan promosi seketika di media massa. Rakyat sebenarnya perlukan langkah konkrit dan berkekalan dalam sebarang tindakan kerajaan.
Masalah pemimpin yang tidak cekap ini bukan sahaja berlaku pada Shahrizat sahaja bahkan banyak lagi kementerian dan menteri yang perlu berundur dan memberi ruang kepada orang yang berwibawa. sebelum UMNO jejakkan kaki dalam PRU-13 nanti eloklah langkah terakhir diambil oleh setiap pemimpin, langkah yang tepat agar UMNO terus kekal berkuasa demi kebaikan berkekalan negara yang tercinta ini. Sekian.
Nota penulis:
- Jika pembangunan kita berundur dan keamanan kita tergugat, negara kita akan semakin miskin jauh lebih teruk berbanding Indonesia yang suatu ketika menjadi bahan rujukan rakyat kita, contoh kedaifan dan kemiskinan. Indonesia kini mengejar pembangunan dan ekonomi nya semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu.
Rujukan:
